Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini mengesahkan satu kes jangkitan Covid-19 varian Omicron dilaporkan di Sabah, semalam.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes itu dikesan di Tawau membabitkan jemaah umrah yang baru balik dari Arab Saudi.
“Kes (pesakit) adalah seorang lelaki warganegara Malaysia yang menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isteri pada 9 Disember hingga 18 Disember 2021.
“Mereka kembali ke Malaysia pada 19 Disember 2021 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Tawau pada 20 Disember 2021.
“Setibanya di Tawau, penama (pesakit) dan isteri diarah menjalani kuarantin di rumah mereka. Keputusan ujian ‘whole genome sequencing’ pada 4 Januari 2022 menunjukkan penama positif varian Omicron.
“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember 2021.
“Keputusan ‘whole genome sequencing’ untuk isterinya masih dalam ujian di IMR,” katanya dalam kenyataan media, petang ini.
Masidi berkata, kedua-dua pesakit sudah lengkap divaksin pada Jun 2021 dan keadaan mereka pada masa ini adalah sihat.
Katanya, ketika disahkan positif Covid-19, suami dikesan berada dalam Kategori 2 manakala isterinya Kategori 1.
“Mereka berdua selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari 2022 dan sudah pulih daripada sakit jangkitan virus Covid-19,” katanya.
-Deasoka