Lahad Datu: Gelagat mencurigakan seorang wanita ketika bertembung dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di jalan masuk Sahabat 55, Felda Sahabat, di sini, membongkar kegiatan pengedaran syabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam itu, wanita berusia 43 tahun terbabit ditahan bersama 31.87 gram syabu yang dipercayai cuba diedarkan di kawasan berkenaan.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, suspek ditahan dalam operasi Op Taring yang dijalankan di kawasan berkenaan hasil maklumat yang diterima.
Katanya, sebaik dilihat dalam keadaan mencurigakan, pasukan operasi terus menahan wanita terbabit untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui satu sampul surat putih yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3,187 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Suspek terus ditahan dan beberapa barangan termasuk wang tunai serta telefon pintar miliknya dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Abdul Rani berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek menerima bekalan dari Kampung Puyut, di sini sebelum diedarkan di sekitar Kampung Pasusul dan Tanjung Labian.
Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-Deasoka