Kota Kinabalu: Seorang kanak-kanak autisme berusia lima tahun dilaporkan hilang di hutan Kampung Malawa, Jalan Sepanggar, di sini, hari ini.
Mangsa Jayden Gabriel Peter dilaporkan hilang di hutan berkenaan kira-kira jam 3 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.03 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerah ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, mangsa adalah kanak-kanak autisme dan menurut saksi kali terakhir mangsa dalam keadaan tidak memakai baju dan seluar.
“Operasi pencarian sedang dijalankan bersama pasukan polis dan orang kampung di kawasan belakang rumah mangsa dan sepanjang sungai berhampiran.
“Setakat ini, kanak-kanak terbabit belum ditemui dan pos kawalan telah diwujudkan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
-Deasoka