Pencalonan Ismail Sabri kekal sebagai PM tonjol solidariti luar biasa UMNO – Bung Moktar

Pencalonan Ismail Sabri kekal sebagai PM tonjol solidariti luar biasa UMNO – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memperlihatkan tahap solidariti luar biasa UMNO untuk berdepan dengan pilihan raya itu.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata keputusan itu menujukkan kematangan pemimpin UMNO yang mengutamakan kesepakatan bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk kerajaan yang stabil untuk kemakmuran negara.

“UMNO Sabah menerima baik cadangan ini dan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap keputusan parti yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, solidariti itu mencerminjan sikap pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti melebihi kepentingan peribadi.

“Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata UMNO berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bercelaru dalam menamakan calon Perdana Menteri mereka kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan negara.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataannya mengumumkan keputusan MKT UMNO yang sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15.

Bung Moktar berkata, keputusan MKT UMNO itu memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merencana agenda bagi memenangi hati dan minda rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO dan BN pada PRU-15 nanti.

Sehubungan itu, katanya kepemimpinan UMNO di semua peringkat kini perlu lebih fokus untuk menyusun jentera dan gerak kerja parti bagi memastikan kemenangan UMNO / BN menghadapi PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|