Covid-19 Sabah: Tiada lagi kluster aktif di Sabah

Kota Kinabalu: Tiada lagi kluster Covid-19 yang aktif di Sabah apabila kluster terakhir iaitu Kluster Jalan Tambalang yang direkodkan di Tuaran diisytiharkan tamat, hari ini.

Penamatan kluster berkenaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dimaklumkan jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi kenyataan medianya, petang ini.

“Kluster Jalan Tambalang, Tuaran ditamatkan oleh pihak JKNS hari ini. Ini bermakna tidak ada lagi kluster yang aktif di Sabah,” katanya.

Kluster Jalan Tambalang dikategorikan dalam kumpulan golongan berisiko yang diisytiharkan pada Februari lalu di sebuah rumah kebajikan di Tuaran.

Sejak Januari lalu, lebih 40 kluster diisytiharkan di seluruh negeri dengan kebanyakannya membabitkan jangkitan Covid-19 dalam institusi pendidikan.

Sementara itu, Masidi berkata statistik jangkitan Covid-19 di Sabah hari ini menyaksikan penurunan 21 kes baharu kepada 101 kes berbanding 122 kes yang dilaporkan semalam.

Katanya, sebanyak 13 daerah mencatat penurunan jumlah jangkitan berbanding tujuh daerah yang mencatat pertambahan kes baharu, manakala tujuh daerah lagi kekal sebagaimana catatan semalam.

“Tiada kes jangkitan baharu di lima daerah iaitu di Kinabatangan, Sipitang, Pitas, Kalabakan dan Kudat. Tiga daerah mencatat kes dua angka hari ini iaitu Kota Kinabalu (33 kes), Penampang (14 kes) dan Sandakan (10 kes).

“Sebanyak 19 daerah mencatat kes harian satu angka dengan lapan daripadanya hanya merekodkan satu kes baharu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya risiko jangkitan Covid-19 di Sabah kekal tinggi dengan peratusan jangkitan sporadik sebanyak 58.4 peratus hari ini.

Katanya, sebanyak 95 daripada 101 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, diikuti dua kes masing-masing dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 15 April 2022
Sabah 101 (122)

Kota Kinabalu 33 (43)
Penampang 14 (4)
Sandakan 10 (10)
Beaufort 7 (2)
Putatan 5 (0)
Tenom 4 (6)
Tuaran 4 (6)
Kuala Penyu 3 (3)
Papar 3 (18)
Tambunan 2 (2)
Lahad Datu 2 (3)
Nabawan 2 (0)
Keningau 2 (2)
Tawau 2 (5)
Semporna 1 (0)
Beluran 1 (0)
Telupid 1 (3)
Ranau 1 (2)
Kota Marudu 1 (7)
Kunak 1 (2)
Tongod 1 (0)
Kota Belud 1 (1)
Kinabatangan 0 (0)
Sipitang 0 (1)
Pitas 0 (1)
Kalabakan 0 (1)
Kudat 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 14 April 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|