Pelbagai inisiatif pulihkan ekonomi Labuan

Labuan: Ekonomi Labuan disasar dapat dipulih dan dikembangkan semula melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan bersama pelabur dan pihak berkepentingan di pulau bebas cukai ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata ia termasuk beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Perbadanan Labuan dengan syarikat dan institusi bertapak di pulau ini.

Shahidan (duduk dua kiri), Bashir (kiri) dan Amir (kanan) bersama delegasi UMSKAL yang diketuai Pengarahnya, Prof Madya Dr Mohamad Rizal (duduk dua kanan).

Beliau yang memulakan lawatan ke pulau ini semalam, berkata MoU itu antara lain berkaitan aktiviti pelancongan, pendidikan, pembangunan ekonomi, jaminan bekalan makanan dan inisiatif ‘Blockchain Data Centre’.

Katanya, turut dilaksanakan ialah MoU berkaitan pelaburan sektor kewangan untuk menarik pelabur tempatan dan asing menanam modal di pulau bebas cukai ini.

“MoU itu memanfaatkan peranan masing-masing bagi memulihkan semula pembangunan dan ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias dan Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Seri Amir Hussien.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail dan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abd Hamid.

Antara MoU yang disaksikan Shahidab semalam ialah MoU di antara Perbadanan Labuan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS), IFC Capital Berhad, Tan Lan Holdings (M) Sdn Bhd dan GIA Technology.

Turut disaksikannya ialah MoU di antara UW Group Incorporated dengan European Credit Investment Bank Ltd.

Beliau berharap menerusi MoU itu, ekonomi dan pembangunan Labuan akan kembali rancak pada masa hadapan untuk manfaat rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|