Siasatan menyeluruh kes bot karam dijalankan

Semporna: Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tragedi bot karam di perairan Pulau Timbun Mata, di sini, semalam.

Mohd Farhan berkata, kertas siasatan akan dibuka mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah

Katanya, punca sebenar insiden berkenaan masih dalam siasatan polis yang akan dijalankan secara menyeluruh dari semua segi.

“Sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Khadijah di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Mohd Farhan berkata, mangsa yang meninggal dunia sudah dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, usaha mencari serta menyelamat dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi lain.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, semua pengusaha bot, penumpang dan penduduk perlu sentiasa menjaga keselamatan.

Katanya, ia termasuk mematuhi jumlah muatan penumpang yang dibenarkan serta memakai jaket keselamatan ketika berada di laut.

Dalam kejadian malam tadi, sebuah bot yang dinaiki 20 individu berusia satu hingga 65 tahun karam berhampiran Pulau Tandoan, Timbun Mata, di sini.

Dalam kejadian berkenaan, seramai 13 individu terselamat manakala lima disahkan meninggal dunia dan dua lagi masih hilang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|