33 individu kemaruk berhibur dikompaun langgar SOP

Keningau: Seramai 33 individu termasuk 10 wanita yang leka berhibur dikompaun dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Peralihan Endemik dan Op Hiburan di sebuah pusat hiburan di daerah ini, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1.35 pagi itu dijalankan bersama polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Seramai 33 pengunjung sebuah pusat hiburan di Keningau dikompaun kerana ingkar SOP.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, ketika operasi di pusat hiburan itu, premis berkenaan didapati beroperasi dengan muzik masih dimainkan dengan kuat dan pengunjung masih leka menikmati minuman keras di dalam premis sambil berhibur.

“Seramai 23 lelaki dan 10 wanita berusia 20 hingga 50-an diperiksa dan dikompaun kerana tidak mengikuti SOP ditetapkan di Peralihan Endemik yang mana aktiviti pusat hiburan adalah tidak dibenarkan.

Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi dijalankan di sebuah pusat hiburan di Keningau.

“Manakala pemilik premis lelaki ditahan kerana beroperasi tanpa lesen yang sah dan disiasat mengikut Ordinan Hiburan Awam 1958,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Rafidah berkata, polis juga merampas beberapa peralatan muzik di premis berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, orang ramai serta premis dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dalam PPN bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat kekal selamat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|