Lima mati lemas, dua masih hilang insiden bot karam di perairan Semporna

Semporna: Lima lemas manakala dua lagi masih hilang dalam kejadian bot karam membabitkan seramai 20 penumpang, di perairan Timbun Mata, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, kemalangan bot pam berkenaan dilaporkan berlaku ketika semua penumpang dalam perjalanan dari Kampung Bakung-Bakung menuju ke Kampung Tandoan.


Pasukan Maritim Malaysia menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan Timbun Mata, Semporna.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norimi Hassan berkata, sebaik menerima maklumat kejadian, sepasukan anggota dan pegawai serta aset maritim terus dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai 13 mangsa berjaya diselamatkan manakala lima lagi ditemui lemas oleh penduduk kampung berhampiran yang turut membantu di lokasi perairan berkenaan.

“Lima mayat mangsa yang ditemui membabitkan tiga kanak-kanak dan dua wanita dewasa berusia lingkungan dua tahun hingga 33 tahun.

“Semua mayat mangsa lemas kemudiannya dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norimi berkata, dua lagi mangsa yang masih hilang ialah kanak-kanak lelaki berusia enam dan 14 tahun.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, punca kejadian dipercayai akibat bot terlebih muatan selain cuaca buruk yang turut menyebabkan bot karam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada jam 7 pagi tadi dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) serta bantuan penduduk kampung berhampiran.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|