Wanita dibaham buaya ditemui

Wanita dibaham buaya ditemui

Kinabatangan: Seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas dibaham buaya di Kampung Tanjung Bulat, di sini, ditemui, hari ini.

Mangsa berusia 32 tahun terbabit ditemui oleh pasukan operasi membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan orang awam.

Anggota bomba membawa mayat mangsa naik ke daratan sejurus berjaya dijumpai di kawasan sungai di Kampung Tanjung Bulat, Kinabatangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), JBPM Sabah berkata, mangsa ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mangsa wanita yang dipercayai dibaham buaya semasa melakukan aktiviti memancing di sungai ditemui pasukan penyelamat bersama orang awam.

“Mangsa ditemui pada jam 6.53 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8 pagi.

Dalam kejadian 3.40 petang semalam, mangsa Norsila Sayong, dilaporkan sedang melakukan aktiviti memancing di tebing anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan.

Mangsa kemudiannya dilaporkan disambar haiwan berkenaan sebelum dilaporkan hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus diaturgerak pihak berkuasa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|