Ops Tapis Khas Narkotik, Polis Tawau tahan 22 individu

Ops Tapis Khas Narkotik, Polis Tawau tahan 22 individu

Tawau: Polis di daerah ini menahan seramai 22 individu termasuk dua wanita kerana disyaki terbabit aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi Op Tapis Khas Narkotik, di sini, semalam.

Operasi berkenaan turut membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Polis menahan individu yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengesan aktiviti dadah melalui sekatan jalan raya dan serbuan di beberapa lokasi.

Katanya, hasil operasi, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 5.72 gram serta menahan 20 lelaki dan dua wanita disyaki penagih dadah.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan, mendapati 19 daripadanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine

“Semua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta ADB 1952.

Katanya, polis akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa secara agresif bagi mengekang kegiatan jenayah dan kesalahan yang melibatkan narkotik.

“Kita mahu memastikan daerah Tawau bersih daripada najis dadah, sekali gus keamanan dan kesejahteraan dapat dikekalkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|