Hari Pahlawan: Pasukan kesihatan diberi penghormatan bersama barisan hadapan lain

Hari Pahlawan: Pasukan kesihatan diberi penghormatan bersama barisan hadapan lain

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Pahlawan yang diadakan semula selepas dua tahun pandemik Covid-19 menyaksikan pasukan kesihatan turut diberi penghormatan sebagai antara kontinjen barisan hadapan.

Acara itu yang berlangsung di Padang Merdeka, di sini, bagi peringkat negeri Sabah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tun Juhar bersama Hajiji dan Masidi melepaskan konvoi kenderaan sempena Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Acara berkenaan diadakan serentak dengan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri Sabah.

Orang ramai yang hadir pada majlis itu turut dipersembahkan dengan persembahan pantomim oleh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkaitan pengorbanan anggota tentera negara selepas Peristiwa Kalabakan ketika konfrontasi 1963.

Tun Juhar (kiri) melihat pameran Angkatan Tentera sambil disaksikan Hajiji (dua kanan) dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya (kanan) sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Sabah di Padang Merdeka.

Pada 29 Disember 1963, tujuh anggota tentera terkorban ketika menentang musuh di sempadan dekat Kalabakan.

Tun Juhar dengan diiringi Hajiji dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri selaku pengerusi jawatankuasa sambutan, Datuk Seri Masidi Manjun kemudian melawat gerai pameran di sekitar Padang Merdeka.

Bagi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Tun Juhar bersama Hajiji dan Masidi kemudian melepaskan 15 kenderaan yang akan berkonvoi ke seluruh Sabah.

Tun Juhar sebelum itu menyerahkan Jalur Gemilang kepada pelbagai agensi negeri dan persekutuan, selain pasukan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|