Baiki sistem keselamatan negara terutama di Sabah

Baiki sistem keselamatan negara terutama di Sabah

Kota Belud: Kerajaan diminta supaya memperbaiki sistem keselamatan negara bagi mengelak daripada sebarang ancaman anasir luar terutama di kawasan pantai timur Sabah.

Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie berkata, isu keselamatan negara harus menjadi keutamaan kerajaan selain isu tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris kesultanan Sulu.

“Saya sudah maklumkan kepada Menteri Undang-Undang supaya keselamatan itu dijadikan keutamaan selain daripada tuntutan ini yang kita tidak iktiraf.

“Sultan Sulu tidak diiktiraf di Filipina, saya sudah nyatakan Filipina sebagai sebuah republik dan bila negara itu sudah menjadi republik, tidak ada kesultanan yang mana tidak ada wilayah atau daerah yang ditaklukinya.

“Cuma yang penting kepada kita ialah keselamatan yang menjadi ancaman dan mereka menjadikan ancaman ini untuk diguna landasan semata-mata bagi mengaburkan bukan hanya mata masyarakat malah dalam setiap kali pilihan raya pun menjadi isu,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pertemuan secara tertutup Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)-ADUN Sabah berhubung isu Sulu di Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, ADUN WARISAN perlu mendapatkan penerangan mengenai perkara itu dan bagi ahli Parlimen ia sudahpun dilaksanakan sebelum ini.

“Saya telah maklumkan kepada ADUN kita untuk pastikan mereka hadir dan mendapat penerangan. Kita di peringkat Parlimen sudah dimaklumkan kenapa penting bagi kita untuk tahu tentang pergolakan yang berlaku tentang isu Sulu ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|