Program CSR JAKMAS bantu penuntut UMS berinteraksi dengan masyarakat

Program CSR JAKMAS bantu penuntut UMS berinteraksi dengan masyarakat

Kota Kinabalu: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Non Residen (NR) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diadakan mampu menambah pengetahuan dan pengalaman penuntut UMS untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat.

Program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tambulaong, di Tuaran, baru-baru ini adalah dengan kerjasama daripada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) UMS yang dikendalikan oleh Pelajar NR dengan diketuai Yang Dipertua JAKMAS NR, Muazam Muanam @ Shafie.

Murid SK Tambulaong bersama penuntut UMS yang terlibat dalam program CSR bersama masyarakat setempat di SK Tambulaong, Tuaran.

Menurut Muazam, program sehari itu bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman penuntut berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Di samping itu, program ini juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan.

“Ia seiring dengan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) UMS yang pertama iaitu memberi pengalaman berkualiti untuk pelajar,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya lagi, program yang turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan SK Tambulaong itu adalah untuk memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

“Ia juga merupakan batu asas kepada warganegara prihatin, bertanggungjawab, serta saling bantu membantu tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita juga sangat berterima kasih atas sambutan mesra dan ceria daripada pelajar, guru-guru dan PIBG sekolah,” katanya.

Hadir sama, Guru Besar SK Tambulaong, Noraida Lamsari; Pengarah PNRF UMS, Hasmi Hashim dan Yang Dipertua PIBG SK Tambulaong, Edwin Lumbating.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|