Dua remaja sesat ketika daki Bukit Kulanga, ditemui selamat

Dua remaja sesat ketika daki Bukit Kulanga, ditemui selamat

Keningau: Dua remaja lelaki ditemui selamat selepas kira-kira 18 jam tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Kulanga, di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 17 tahun ditemui jam 11.40 pagi tadi, selepas dilaporkan hilang kira-kira jam 4 petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 4.40 petang semalam daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, seramai sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama jentera digerakan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit dan berjaya ditemui oleh orang kampung.

“Mangsa terbabit ditemui kira-kira 12 kilometer dari tempat permulaan pendakian dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian membawa turun kedua-dua mangsa dan seterusnya diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing.

“Operasi tamat pada jam 2.27 petang tadi,” katanya.

Operasi pencarian turut dijalankan sepasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|