Tujuh termasuk tiga OKU ditemui selamat selepas lebih 16 jam hilang

Tujuh termasuk tiga OKU ditemui selamat selepas lebih 16 jam hilang

Kota Belud: Lima kanak-kanak dan dua remaja berusia lingkungan 3 hingga 15 tahun yang dikhuatiri hilang, sejak petang semalam, ditemui selamat selepas 16 jam pencarian, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Lery Joba Midih berkata, semua mangsa ditemui penduduk kampung dan pasukan bomba kira-kira 7.30 pagi tadi.

Tiga daripada tujuh mangsa yang juga OKU dilaporkan hilang sejak petang semalam ditemui dalam keadaan lemah. Pix ihsan Bomba.

Katanya, mereka ditemui di kawasan hutan kira-kira 4 kilometer dari Kampung Kebayau dalam keadaan selamat.

“Ketika ditemui, semua mereka selamat namun berada dalam keadaan lemah mungkin disebabkan tidak makan sejak petang semalam.

“Mereka memberitahu mahu pergi melihat satu kawasan pembinaan jalan berhampiran Kampung Kubang, di sini, namun tersesat masuk ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lery berkata, kumpulan kanak-kanak itu memberitahu ketika cuba pulang ke rumah, hari sudah gelap dan mereka terpaksa bermalam di hutan.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian hari kedua dimulakan pada jam 7.16 pagi tadi.

Katanya, semua mangsa berjaya ditemui di kawasan kebun berhampiran dan terus dibawa balik Kampung Kebayau untuk tindakan selanjutnya.

“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Ambulans untuk menerima pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi.

Dalam kejadian semalam, kehilangan mereka disedari ahli keluarga selepas semua mangsa termasuk tiga Orang Kurang Upaya (OKU) terbabit tidak pulang ke rumah sehingga malam.

Semua mereka dilaporkan kali terakhir dilihat pada jam 3 petang di sebuah kedai runcit di kampung berkenaan.

Difahamkan, empat daripada mangsa hilang adalah adik beradik iaitu Freddy Kerinsuk, 15; Arni Kerinsuk, 13; Alistar Kerinsuk, 9 dan adik mereka, Royce Kerinsuk, tiga tahun.

Manakala tiga lagi yang hilang ialah Mecklorn Datine, 12, Elson Evan Lie Willie, 11, dan Elcy Jackter, 5 tahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|