Tujuh termasuk tiga OKU dikhuatiri hilang

Tujuh termasuk tiga OKU dikhuatiri hilang

Kota Belud: Dua remaja dan lima kanak-kanak termasuk tiga daripadanya orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang ketika bermain di sekitar Kampung Kebayau, di sini, semalam.

Kesemua mereka berusia antara tiga hingga 15 tahun itu kali terakhir dilihat pada jam 3 petang di sebuah kedai runcit di kampung berkenaan.

Menurut laporan, Freddy Kerinsuk, 15; Arni, 13 dan Alistar, 9, yang juga OKU bersama adik mereka Royce, 3 serta tiga lagi kanak-kanak lain, Mecklorn Datine, 12; Elson Evan Lie Willie, 11 dan Elcy Jackter, 5, sehingga kini belum ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berhubung kejadian itu pada jam 10.49 malam.

Katanya, menurut laporan semua mangsa hilang semasa bermain di kawasan kampung dan mereka kali terakhir dilihat oleh saksi berada di kedai runcit kampung sekitar jam 3 petang.

“Sehingga kini kesemua mereka masih belum pulang ke rumah dan usaha mencari dilakukan segera oleh penduduk kampung namun tiada sebarang penemuan.

“Operasi disambung semula hari ini oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, sebarang maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa berhubung semua mangsa terbabit.

Tamat

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|