JKR diminta letak tanda had laju di setiap tiang ‘flyover’

JKR diminta letak tanda had laju di setiap tiang ‘flyover’

Kota Kinabalu: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta meletakkan papan tanda amaran had kelajuan di setiap tiang jejambat bagi mengelak kejadian kemalangan berulang.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, had kelajuan memang sudah ditetapkan di kawasan berkenaan, iaitu 70 kilometer sejam.

Bung Moktar ketika meninjau lokasi kemalangan di jejambat Luyang berhampiran Plaza Lintas, Luyang, Kota Kinabalu.

“Jadi mana-mana kenderaan melebihi had kelajuan itu mungkin boleh berhadapan dengan risiko yang tidak kita ingini.

“Bagaimanapun, mungkin saya akan meminta jabatan saya untuk meletakkan di semua tiang berkaitan had kelajuan bertulis tidak melebihi 70 kilometer.

“Mungkin baru orang ramai boleh faham sebab kalau tidak ia akan membahayakan lebih-lebih lagi apabila hujan lebat apabila kita memandu laju dan mengakibatkan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada media selepas meninjau lokasi kemalangan maut di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri turut berkata, keputusan mengenai punca kemalangan itu akan diperoleh dalam tempoh terdekat.

“Saya berpuas hati dengan penjelasan daripada Pengarah JKR dan juga Setiausaha Kementerian bahawa jalan raya ini dibina berdasarkan prosedur dan juga kriteria yang ditetapkan oleh JKR dan audit keselamatan jalan raya. Sekarang jalan raya ini telah diaudit dengan tahap empat dan kita akan ke tahap lima.

“JKR sedang menilai punca-punca kemalangan dan InsyaAllah dalam satu atau dua hari ini kita akan dapat keputusannya dan kita akan maklumkan kepada orang ramai apa yang telah menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga beranak dan seorang lagi kanak-kanak yang juga ahli keluarga mereka terbabit dalam kemalangan itu.

Tiga beranak terbabit dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kanak-kanak terbabit parah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|