MoU kerajaan, PH tidak beri kesan ketara kepada dinamika politik Sabah

MoU kerajaan, PH tidak beri kesan ketara kepada dinamika politik Sabah

Kota Kinabalu: Penamatan memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan pakatan pembangkang pada 31 Julai lalu dilihat tidak memberikan gambaran ketara buat dinamika politik di Sabah.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, ini memandangkan kesefahaman pentadbir negeri, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) Sabah masih kekal setakat ini.

“Dinamika politik di Sabah berhubung penamatan MoU di antara kerajaan dan PH pada 31 Julai lalu tidak memperlihatkan impak ketara kepada Sabah selagi pilihan raya belum berlangsung.

“Ini memandangkan masih ada kerjasama politik (GRS/BN) yang kekal sehingga kini di Sabah, ” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan kajian pihaknya, rakyat Sabah bagaimanapun menyedari hakikat bahawa tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal menjelma tidak lama lagi dan terdapat banyak faktor bakal mempengaruhi undi mereka pada ‘hari kententuan’ itu nanti.

“Aspirasi pembangunan dan kestabilan politik yang ditunjangi harapan supaya wujud layanan sewajarnya dari Kerajaan Persekutuan serta pemartabatan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selain itu, rakyat Sabah dan Sarawak juga dalam masa sama mengharapkan kepimpinan yang fokus terhadap kepentingan mereka dan tidak mementingkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas Romzi ketika ditanya mengenai pendapat apakah rakyat mahukan terhadap pentadbiran yang akan datang, beliau mendedahkan secara kolektifnya, sebuah kerajaan yang mempunyai kemampuan menawarkan kestabilan dari banyak aspek.

“Rakyat di negara ini secara kolektifnya mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan ditunjangi oleh kepimpinan yang selaras dengan kehendak semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut membayangkan bahawa pada PRU-15 nanti, sekurang-kurangnya terdapat empat atau lebih parti yang bakal bertanding dalam satu-satu kawasan.

“PRU nanti berkemungkinan akan memperlihatkan pertandingan sekurang-kurangnya empat penjuru di setiap kerusi.

“Antara isu yang dijangka akan berlegar-legar pada waktu itu adalah isu MA63.

“PRU ini nanti juga akan diwarnai isu sejarah, kestabilan politik, integriti, pembangunan dan kesesuaian calon yang bertanding pada kerusi parlimen,” katanya.

Untuk rekod, Sabah mempunyai 25 kerusi parlimen yang bakal dipertandingkan pada PRU-15 nanti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|