Kenal pasti jumlah jambatan di seluruh Sabah – Bung Moktar

Kenal pasti jumlah jambatan di seluruh Sabah – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Satu konsultan perlu dilantik bagi mengenal pasti jumlah jambatan di seluruh Sabah sebagai usaha menyelesaikan keperluan kemudahan itu untuk murid ke sekolah terutama di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan, terdapat banyak jambatan di seluruh Sabah dan masing-masing dikendali oleh pelbagai pihak di negeri ini.

“Apabila sebut soal jambatan ini di seluruh Sabah ada beribu jambatan, saya pun belum tahu berapa banyak sebab ada jambatan kampung, jambatan sementara dan jambatan ini banyak pemiliknya.

“Majlis daerah pun ada, pejabat daerah pun ada, agensi-agensi kerajaan pun ada tetapi malang sekali apabila sebut jambatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipertanggungjawab,” katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi kemalangan di Jalan Lintas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sejak kebelakangan ini tular situasi murid sekolah yang terpaksa menyeberang sungai dengan pelbagai cara tanpa ada jambatan untuk dilalui.

Katanya, perkara itu bagaimanapun perlu diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak dan perbincangan perlu dilakukan bersama.

“Saya melihat perkara ini perlu kita selesaikan dan saya akan menunggu kepulangan Ketua Menteri dan saya ada perancangan untuk kita melantik satu konsultan untuk menilai berapa jumlah jambatan yang ada dan diperlukan termasuk jambatan-jambatan kampung.

“Saya juga mengajak semua pegawai-pegawai daerah memerhati kawasan pentabiran masing-masing dan membuat laporan kepada Menteri Luar Bandar dan salinan kepada kita untuk sama-sama kita bincangkan untuk membuat satu kolaborasi atau strategi lautan biru bagi menanggani isu-isu yang berlaku ini.

“Kalau tidak, sudah tentu setiap minggu akan ada viral di media sosial sebab seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|