3,500 karton rokok seludup bernilai RM420,000 dirampas

3,500 karton rokok seludup bernilai RM420,000 dirampas

Tawau: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) merampas 3,500 karton rokok seludup dalam operasi Op Benteng Bersama (OBB) di Lorong Hj Salleh, Kampung Sri Aman, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, kejayaan berkenaan hasil pengesanan dua lelaki mencurigakan yang dikesan sedang giat memunggah kotak ke dalam sebuah stor di kawasan berkenaan.

Rokok yang cuba diseludup masuk ke Tawau.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan ATB2 hari ini berkata, berdasarkan pengesanan berkenaan, Tim Quick Reaction Force (QRF) segera melakukan tinjauan ke lokasi berhampiran.

Katanya, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran pasukan operasi kemudiannya terus bertindak melarikan diri meninggalkan lokasi.

Anggota ATB2 mematahkan cubaan seludup rokok ke Tawau.

“Hasil pemeriksaan terhadap stor berkenaan mendapati ia digunakan bagi tujuan transit penyimpanan rokok seludup dari Indonesia ke pasaran Tawau.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi 3,500 karton rokok seludup berjenama Astro Menthol King itu dianggarkan sebanyak RM420,000,” katanya.

Menurutnya, ATB2 percaya kegiatan melibatkan sindiket rakyat tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar daerah ini.

Katanya, semua rokok berkenaan terus dirampas dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau IPD Tawau untuk siasatan serta tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” tegasnya.

Sementara itu, Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai dan anggota yang bertugas di POWB ATB 2 atas kejayaan operasi kali ini.

Katanya, kejayaan ini membuktikan ATB2 sentiasa komited terhadap menjaga keselamatan, kemakmuran dan kedaulatan Perairan Pantai Timur Sabah.

“Kerjasama erat antara perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis sentiasa berada ditahap yang terbaik melalui pemantauan berterusan serta perkongsian maklumat secara efektif.

“ATB2 sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara.

“ATB2 juga turut melaksanakan aturgerak operasi dengan pelbagai kaedah seperti menggabungkan semua aset serta elemen pengawasan secara terkoordinasi dalam menjamin keselamatan negara,” katanya.

Menurutnya, ATB akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama secara berterusan dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku.

Katanya, ATB2 tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|