KOTA KINABALU: setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin- Nya, kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah dalam suasana aman, harmoni dan penuh keberkatan.
Aidiladha merupakan antara peristiwa besar dalam kalendar umat Islam yang sarat dengan pengajaran dan hikmah. Sambutan ini mengingatkan kita kepada kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anakandanya Nabi Ismail AS yang memperlihatkan nilai ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada perintah Allah SWT. Semangat pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh kedua-dua insan mulia ini sewajarnya dijadikan pedoman dalam kehidupan kita seharian.
Sesungguhnya, pengorbanan bukan hanya terhad kepada pelaksanaan ibadah korban semata mata, tetapi juga meliputi pengorbanan masa, tenaga dan fikiran demi keluarga, masyarakat, negeri dan negara tercinta. Dalam dunia yang semakin mencabar ketika ini, rakyat perlu terus memperkukuhkan semangat kebersamaan, saling membantu dan bertolak ansur bagi memastikan keharmonian yang kita kecapi selama ini terus terpelihara.
Sabah amat bertuah kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang hidup bersama dalam suasana penuh toleransi dan saling menghormati. Keunikan ini merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara oleh seluruh lapisan masyarakat. Saya percaya semangat perpaduan yang kukuh akan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negeri terus diperkasakan.
Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memupuk nilai kasih sayang, persefahaman dan saling hormat menghormati sesama insan. Ketepikan segala perbezaan yang boleh merenggangkan hubungan masyarakat dan sebaliknya suburkan budaya muafakat demi masa depan negeri yang lebih baik dan sejahtera.
Saya juga berharap sambutan Aidiladha kali ini akan menjadi ruang untuk kita mempereratkan hubungan kekeluargaan dan silaturahim sesama masyarakat. Tradisi ziarah menziarahi, saling memaafkan dan berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan hendaklah terus diamalkan kerana nilai nilai inilah yang menjadi asas kepada masyarakat yang penyayang dan prihatin.
Dalam pada itu, saya turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan, anggota keselamatan, petugas kesihatan, penjawat awam serta semua pihak yang terus menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan rakyat serta keamanan negeri, termasuk ketika musim perayaan.
Penghargaan juga wajar diberikan kepada para jemaah haji dari Sabah dan seluruh Malaysia yang sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci pada ketika ini. Marilah kita bersama sama mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan memperoleh haji yang mabrur.
Kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah korban, saya berharap agar ibadah tersebut dapat dilakukan dengan penuh keikhlasan dan sempurna mengikut tuntutan syariat. Semoga semangat pengorbanan yang dihayati menerusi ibadah ini akan terus menyemai rasa insaf, syukur dan keprihatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Saya juga ingin mengingatkan rakyat agar sentiasa menjaga keselamatan sepanjang musim perayaan ini, khususnya kepada mereka yang melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman atau menziarahi sanak saudara. Utamakan keselamatan di jalan raya dan sentiasalah berhati hati demi kesejahteraan bersama.
Akhir kata, saya dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Sabah di mana jua berada.
Semoga sambutan Aidiladha pada tahun ini membawa keberkatan, keamanan dan kebahagiaan kepada kita semua serta terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian negeri yang kita cintai ini.
