Tujuh lagi PPS dibuka, mangsa banjir meningkat 717

Tujuh lagi PPS dibuka, mangsa banjir meningkat 717

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 717 mangsa dengan pertambahan tujuh lagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kota Marudu, Paitan, Beluran, Telupid dan Sandakan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, secara keseluruhan sebanyak sembilan PPS dibuka dengan tujuh PPS yang baru dibuka membabitkan empat daerah lain yang turut dilanda banjir sejak semalam.

PPS yang dibuka di PPS Masjid Nur Iman Sungai Memanjang bagi menempatkan 61 mangsa banjir dari Kampung Sungai Memanjang, Sandakan. Pix Ihsan APM Sabah

Katanya, jumlah mangsa banjir di Kota Marudu meningkat daripada 504 mangsa kepada 557 mangsa dan 99 mangsa lagi mangsa banjir yang baru dicatatkan membabitkan dari empat daerah lain.

“Sebuah lagi PPS di Kota Mardudu dibuka iaitu di Dewan St Theresa dengan menempatkan seramai 53 mangsa terdiri daripada 14 ketua isi rumah (KIR) manakala jumlah di dua PPS lain iaitu Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek kekal dengan 504 mangsa.

Keadaan banjir yang berlaku di beberapa daerah di Sabah. Pix Ihsan APM Sabah

“Dua PPS di Paitan dibuka membabitkan Dewan SMK Pamol dan Dewan Kampung Binsulung masing-masing menempatkan tujuh dan 36 mangsa banjir manakala di Beluran menempatkan 30 mangsa banjir di PPS Kampung Balaban Jaya.

“Sementara itu, di Telupid turut dibuka dua lagi PPS iaitu di Kampung Bakong-Bakong dan Dewan Kampung Rancangan Nangoh dengan jumlah mangsa banjir masing-masing lima dan 21 penduduk serta sebuah lagi PPS di Sandakan iaitu Masjid Nur Iman Sungai Memanjang membabitkan 61 mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, pertambahan mangsa dan pembukaan PPS di negeri ini berikutan berlaku peningkatan kampung yang terjejas dari kesemua daerah yang dilanda banjir.

“Sebanyak 16 kampung di Paitan yang terjejas iaitu Kampung Batangon Darat dan Laut, Kampung Kabuluh, Kampung Sokoon, Kampung Simpangan, Kampung Tebatu, Kampung Dalamas, Kampung Sungai Tangkarason, Kampung Binsulung, Kampung Musinggapu, Kampung Tolungan Pamol, Kampung Tagas2, Kampung Basai, Kampung Tolungan, Kampung Puru Batu/Lakang dan Kampung Polis Tagas2.

“Dua kampung di Telupid dinaiki air iaitu Kampung Rancangan Nangoh dan Kampung Bakong-Bakong manakala di Sandakan membabitkan Kampung Sungai Memanjang,” katanya.

Sebelum itu, jurucakap berkata, dua daerah lain turut dilanda banjir iaitu Ranau dan Lahad Datu namun tiada PPS dibuka berikutan tiada mangsa yang dipindahkan setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|