Penampang: Mangsa terakhir, Tomansi Olaf, 17, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Kampung Pogunon, kelmarin, ditemui di Sungai Moyog, di sini, hari ini.
Mangsa ditemui pada jam 11.04 pagi kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dibuka untuk operasi pencarian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut hadir membantu dalam operasi berkenaan.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.15 pagi hari ini.
“Dalam operasi pencarian hari ini, pasukan bomba menggunakan kaedah ‘Z’ di sepanjang Sungai Moyog bagi memastikan setiap kawasan dapat dilalui dengan sempurna.
“Pencarian dijalankan di kawasan pesisir sungai menggunakan bot pasukan bomba bersama PDRM serta orang awam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, taktik ini akhirnya berhasil apabila mangsa berjaya ditemui pasukan operasi dan terus dibawa naik untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian jam 3 petang Sabtu lalu, mangsa yang hilang dikenali sebagai Harold Walter, 17, dan Tomansi Olaf, 17 tahun.
Kedua-dua mangsa dikatakan hanyut selepas cuba menyeberangi sungai bersama empat lagi rakan mereka akibat kepala air yang tiba-tiba meluncur deras sehingga mengakibatkan paras air naik mendadak.
Untuk rekod, mangsa pertama ditemui di Kampung Pagansakan Inobong, di sini, pada jam 2.40 petang oleh seorang penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
-Deasoka