Sandakan: Tindakan tiga bot laju bergerak seawal jam 1 pagi untuk menyeludup masuk rokok gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila berjaya dirampas, semalam.
Dalam operasi jam 1 pagi itu, semua rokok putih yang disyaki dibawa masuk dari negara jiran di sekitar Pulau Sulok, Beluran, itu berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sandakan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, kegiatan berkenaan berjaya dikesan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Pluto Timur di perairan Semawang, di sini.
Katanya, hasil pemantauan mendapati salah sebuah bot berkenaan sedang menunda sebuah lagi sampan dalam keadaan bergelap.
“Sebaik pergerakan mencurigakan ketiga-tiga bot berkenaan dikesan, pasukan operasi terus cuba mengejar sebelum memintas untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, semasa diarahkan berhenti, ketiga-tiga bot berkenaan tidak memberikan kerjasama dan terus memecut laju untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Zainuddin berkata, ketiga-tiga bot suspek kemudiannya dilihat bertindak memecut ke arah perairan cetek berhampiran kawasan daratan.
“Selepas hampir 20 minit mengejar, salah sebuah bot suspek bertindak memotong tali sampan yang ditunda.
“Manakala ketiga-tiga bot suspek pula terus menuju kawasan paya bakau cetek untuk melarikan diri,”katanya.
Zainuddin berkata, hasil pemeriksaan terhadap sampan yang ditinggalkan berjaya menemui 48,600 batang rokok putih.
Katanya, semua rokok yang dirampas berkenaan dianggarkan bernilai RM33,000 beserta cukai.
“Rampasan terus dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini,” katanya.
Zainuddin berkata, siasatan lanjut kes dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.
-Deasoka