PRU-15: Jangan lagi terpengaruh janji pembangkang – Bung Moktar

PRU-15: Jangan lagi terpengaruh janji pembangkang – Bung Moktar

Sandakan: Rakyat diingatkan supaya tidak lagi terpengaruh dengan janji pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tidak kira sama ada pilihan raya itu cepat atau lambat diadakan.

Peringatan itu disuarakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin supaya apa yang berlaku pada PRU 2018 tidak berulang semula pada PRU-15 yang mungkin diadakan sebelum akhir tahun ini atau tahun depan.

Katanya, PRU 2018 menyaksikan rakyat ditabur dengan pelbagai janji oleh pihak pembangkang sehingga terpengaruh lalu menukar kerajaan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan baharu yang diterajui selepas PRU 2018 tidak menunaikan janji yang ditabur kepada rakyat ketika kempen pilihan raya berkenaan.

“Sama ada cepat atau lambat pilihan raya umum akan diadakan, sama ada tahun ini atau tahun depan, tetapi ianya pasti akan diadakan.

“Justeru itu peranan kita, jangan lagi kita ditipu berulang kali. Apabila sahaja kerajaan Barisan Nasional (BN) runtuh pada 2018, kita mendapat kerajaan baharu dengan harapan parti Pakatan Harapan (PH) memenuhi janji mereka.

“Namun, satupun janji mereka tidak dapat ditunaikan. Mereka janji PTPTN percuma, kalau di Semenanjung tol percuma, pendidikan percuma dan hospital percuma,” katanya pada Karnival Belia Keluarga Malaysia BN, di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata akibat pertukaran kerajaan ketika itu menyebabkan negara hampir lingkup dan muflis selain turut memberi kesan kepada rakyat Sandakan.

Jelasnya, tiada perubahan yang positif dilaksanakan di daerah ini, malah keadaan Sandakan masih di takuk yang lama.

“Di Sandakan inipun sama juga, DAP datang sini janji macam-macam, tidak ada juga, jadi kita orang Sabah, berfikirlah secara terbuka, buatlah keputusan yang terbaik.

“Untuk menentukan masa depan kita, masa depan anak bangsa kita, belia-belia di Sabah, Sandakan perlu bangkit, bangun daripada tidur yang lena,” katanya.

Katanya, rakyat Sabah perlu berfikir secara terbuka dalam membuat keputusan yang terbaik pada PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|