Dua ditahan bersama enam kilogram syabu

Dua ditahan bersama enam kilogram syabu

Tawau: Dua lelaki warga tempatan berusia 30 dan 42 tahun ditahan bersama lebih enam kilogram syabu dalam serbuan di daerah ini, pada 14 Jun lalu.

Dalam operasi jam 3.55 petang itu, semua dadah berkenaan disembunyikan di dalam kotak gabus dan dibungkus dengan enam plastik bertulis ‘Ecological Rice’.

Dadah jenis syabu seberat 6,096.4 gram yang dirampas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Husin berkata, semua dadah berkenaan dianggarkan seberat 6,096.4 gram dan bernilai RM216,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit ditahan ketika sedang melakukan aktiviti transaksi penyerahan dadah berkenaan.

“Operasi kali ini dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam dan intipan selama sejam di lokasi.

“Sebaik dikesan sedang melakukan penyerahan, pasukan operasi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah terus menyerbu dan menahan kedua-dua suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Jasmin berkata, siasatan awal mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan positif dadah.

Katanya, semua dadah berkenaan juga dipercayai dibawa masuk dari luar daerah untuk digunakan oleh sekurang-kurangnya 50,000 penagih dadah di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, pihaknya amat komited dalam usaha memerangi jenayah pengedaran dadah seperti ini.

Katanya, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat juga amat diperlukan dan kejayaan kali ini sekaligus membongkar satu lagi sindiket dadah yang bergiat aktif di daerah ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|