Kota Kinabalu: Persatuan kebudayaan di negeri ini disaran supaya mengambil peluang memperkenalkan budaya suku kaum masing-masing sempena pembukaan semula sektor ekonomi terutama dalam bidang pelancongan di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berkata, ini termasuk yang membabitkan aktiviti kesenian dan kebudayaan dianjurkan Persatuan Rumpun Bajau mengenai pertandingan Bertitik.
“Saya lihat ini pertandingan Bertitik ini antara tarikan ke Sabah. Negeri ini mempunyai keunikannya sendiri selain alam semula jadinya, terdapat pelbagai budaya masyarakat setempat.
“Kita mungkin boleh sarankan kepada Persatuan Rumpun Bajau ini pada masa depan untuk menjemput juga pelancong untuk dijadikan sebagai salah satu pakej supaya mereka hadir menonton dan seterusnya kenal kepada budaya masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan majlis penutupan Pertandingan Bertitik Peringkat Bandar Raya Kota Kinabalu di Dewan Masyarakat Manggatal, semalam.
Tambah Aliakbar lagi, pertandingan itu adalah salah satu program kebudayaan bagi masyarakat Bajau di negeri ini dan ia antara inisiatif untuk memberi pendedahan kepada generasi muda supaya budaya yang ada di Sabah tidak hilang ditelan zaman.
“Apa yang membanggakan saya ialah melihat kumpulan yang terlibat adalah gabungan antara masyarakat ‘orang lama’ dan juga generasi baharu dalam pertandingan ini.
“Pada saya ini sebagai petanda positif apabila budaya-budaya yang baik yang mengambarkan keunikan negeri Sabah dapat dikekalkan dan juga ia harus ada kesinambungan khususnya dari orang lama kepada generasi baharu dan muda,” katanya.
-Deasoka