Tiga wanita ditahan miliki lebih 1 kilogram syabu

Tiga wanita ditahan miliki lebih 1 kilogram syabu

Tawau: Polis menahan tiga wanita dan merampas 1.18 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM36,000 ketika menjalankan Ops Tapis di kawasan Bandar Sabindo, di sini, Isnin lalu.

Tiga wanita termasuk seorang warga Filipina berusia 28, 35 dan 44 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12 tengah hari.


Bungkusan berisi dadah jenis syabu yang dirampas pasukan polis. Pix Ihsan IPD Tawau

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ketika serbuan dilakukan, polis menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan tiga wanita terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik tertera tulisan ‘Daguanyin’ yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

“Dadah syabu yang dirampas sebanyak 1.18 kilogram bernilai RM36,000 mengikut harga pasaran gelap.

“Semua suspek dan rampasan dibawa ke BSJN IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau lagi, semua dadah yang dirampas mampu menampung permintaan kira-kira 5,000 penagih.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|