Suami tikam isteri kerana dadah

Suami tikam isteri kerana dadah

Lahad Datu: Seorang wanita cedera selepas ditikam suaminya sendiri hanya kerana berang tidak diberikan wang untuk mendapatkan bekalan dadah, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang berusia 21 tahun cedera di lengan kanan selepas ditikam beberapa kali menggunakan gunting di rumah mereka di Tanjung Labian, di sini.

Suspek berusia 25 tahun menyerah diri di Balai Polis Desa Kencana jam 12.30 tengah hari tadi. Pix Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, akibat daripada kejadian berkenaan, mangsa yang juga warga Filipina terpaksa menerima tiga jahitan.

Katanya, suspek yang juga suami mangsa berusia 25 tahun akhirnya menyerah diri di Balai Polis Desa Kencana kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Siasatan awal mendapati, pasangan berkenaan berkahwin sejak lima tahun lalu dan mempunyai dua anak berusia dua dan tiga tahun.

“Suspek melakukan sedemikian terhadap isterinya selepas berang tidak diberikan wang yang dipercayai mahu digunakan untuk membeli dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|