Lagu ‘Mama’, naluri seorang ibu

Lagu ‘Mama’, naluri seorang ibu

Kota Kinabalu: Kasih sayang dan naluri seorang ibu. Itu penceritaan lagu single terbaru Velvet Lawrence Aduk yang bakal menemui peminat bermula, esok.

Penyanyi kelahiran Sabah itu yang tampil menerusi genre pop sekaligus bakal melancarkan muzik video yang boleh ditonton menerusi saluran Youtube Velvet Aduk.

Kali terakhir muncul menerusi lagu Mimpi Indah sekitar awal tahun lalu, Velvet atau nama sebenarnya Velvet Lawrence Aduk, 34, menyifatkan lagu baharu ciptaan sepenuhnya oleh diri sendiri itu adalah buah tangan istimewa buat insan bergelar ibu.

“Lagu ini mengisahkan tentang kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya.

“Karya ini sangat dekat di hati kerana saya juga seorang ibu yang sentiasa inginkan yang terbaik buat semua anak.

“Lagu Mama juga didedikasikan buat anak-anak dengan harapan walaupun suatu hari nanti mereka sudah dewasa namun saya mahu mereka tahu yang ibu mereka akan selalu ada dalam apa jua keadaan,” katanya yang juga penyampai radio di Kupi-Kupi FM.

Mengulas lanjut mengenai single terbaharunya, Velvet yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim keempat menyatakan lagu berkenaan ditulis ketika negara sedang teruk dilanda pandemik Covid-19 yang mengakibatkan penutupan pelbagai sektor dan menjejaskan ekonomi.

Menurut isteri kepada vokalis kumpulan Estranged, Rich, Velvet menyifatkan tempoh pandemik banyak mengajar dirinya untuk mengharga setiap individu disekelilingnya.

“Kita dapat lihat ramai orang berputus asa, terasing daripada dunia luar dan kehilangan orang tersayang.

“Sepanjang tempoh itu juga menyedari bahawa hidup ini terlalu singkat dan harus menghargai insan-insan yang disayangi.

“Tiada siapa tahu bila masa kita berakhir di dunia ini. Mungkin kita balik rumah, keadaan mereka baik-baik sahaja.

“Tetapi siapa sangka ada tidak sempat mengucapkan selamat tinggal malahan lebih menyayat hati apabila ada ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka akibat Covid-19.

“Oleh itu, hargai setiap orang yang ada dalam kehidupan seharian kita agar tiada penyesalan dikemudian hari,” katanya.

Sementara itu, Velvet berharap lagu Mama terbabit mampu meresap ke jiwa setiap yang mendengarnya selain mampu menambat hati peminat muzik tempatan termasuklah penggemar di Semenanjung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|