Tiga maut, kereta putus dua rempuh pokok

Tiga maut, kereta putus dua rempuh pokok

Sandakan: Tiga lelaki maut selepas kenderaan yang dinaiki terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Lintas Sibuga, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kenderaan jenis Proton Saga FLX berkenaan dipercayai terbabas merempuh pokok sehingga terputus dua.

Pasukan bomba mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit. Pix Ihsan Bomba

Akibat kejadian itu, dua mangsa tercampak keluar manakala seorang lagi tersepit di bahagian hadapan kenderaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman penemuan berkenaan pada jam 11.40 pagi.

Pasukan bomba yang hadir di lokasi kejadian menjalankan operasi mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit. Pix Ihsan Bomba

Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Terdapat tiga mangsa lelaki terbabit dan dua daripadanya berada di luar kenderaan manakala seorang lagi tersepit.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan malang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang yang turut hadir membantu.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.06 tengah hari.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|