Covid-19 Sabah: Kadar kebolehjangkitan di Sabah naik

Covid-19 Sabah: Kadar kebolehjangkitan di Sabah naik

Kota Kinabalu: Sabah mencatat kadar kebolehjangkitan atau Rt Covid-19 melebihi kadar kebangsaan dengan catatan 1.07 setakat semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kadar berkenaan lebih tinggi berbanding 0.98 bafi Rt kebangsaan.

“Sebagai langkah pencegahan, kita perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Kada Rt Sabah juga menunjukkan peningkatan hampir setiap hari berbanding 0.96 yang direkodkan pada 1 Januari lalu.

Masidi berkata, hari ini turut menyaksikan seramai 31 pesakit baharu atau 19.2 peratus daripada 161 kes keseluruhan hari ini terdiri daripada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Katanya, golongan yang belum layak divaksin itu perlu diberi perlindungan dengan memastikan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Ibu bapa dan ahli keluarga dewasa yang tinggal bersama kanak-kanak yang masih kecil perlu berhati-hati bagi mengelak dijangkiti dan secara tidak sengaja menjadi pembawa virus Covid-19 ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata secara keseluruhan, jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini turn 37 kes kepada 161, berbanding 198 kes semalam.

Beliau berkata, keadaan semasa Covid-19 di semua daerah juga menampakkan fasa penstabilan kecuali beberapa daerah yang masih berlaku turun naik kes secara mendadak hampir setiap hari.

“Antaranya Kota Kinabalu mencatat 29 kes hari ini dengan pengurangan 16 kes berbanding semalam, namun masih menjadi daerah yang mencatat kes baharu tertinggi di Sabah.

“Ranau pula kembali mencatat jumlah yang tinggi dengan 28 kes hari ini, termasuk enam kes baharu daripada Kluster Hotel Perkasa.

“Tiada kes baharu dicatatkan di lapan daerah, manakala 14 daerah lagi mencatat kurang daripada 10 kes baharu,” katanya.

Masidi berkata, daripada 161 kes baharu hari ini, sebanyak 158 kes berada dalam Kategori 1 dan 2, diikuti satu kes dalam Kategori 3 dan dua kes dalam Kategori 4.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 10 Januari 2022
Sabah 161 (198)

Kota Kinabalu 29 (45)
Ranau 28 (22)
Tuaran 19 (23)
Kota Belud 15 (17)
Penampang 13 (15)
Papar 9 (21)
Keningau 7 (9)
Tawau 7 (1)
Tambunan 5 (5)
Kota Marudu 5 (1)
Tenom 5 (7)
Kuala Penyu 4 (5)
Kudat 4 (1)
Sandakan 3 (4)
Putatan 3 (2)
Beaufort 2 (6)
Semporna 1 (0)
Telupid 1 (0)
Tongod 1 (0)
Beluran 0 (2)
Lahad Datu 0 (2)
Kinabatangan 0 (1)
Kunak 0 (0)
Nabawan 0 (0)
Sipitang 0 (7)
Pitas 0 (2)
Kalabakan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 9 Januari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|