Pengebom ikan nekad terjun laut, elak ditahan

Pengebom ikan nekad terjun laut, elak ditahan

Kota Kinabalu: Lima individu nekad terjun ke laut bagi mengelak daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Wokong, Pulau Gaya, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, lima individu terbabit disyaki terbabit dalam aktiviti mengebom ikan di perairan berkenaan.

Bot turut dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti bom ikan di Tanjung Wokong, Pulau Gaya, Kota Kinabalu. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebuah bot pancing berjaya dikesan ketika sepasukan anggotanya melakukan rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan Kota Kinabalu.

“Bot pancing itu bergerak dalam keadaan mencurigakan dan ketika anggota menghampiri bot berkenaan untuk diperiksa, lima individu berkenaan bertindak terjun ke laut.

Antara peralatan yang dirampas dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan. Pix Ihsan Maritim Malaysia

“Individu terbabit berenang ke pantai berhampiran untuk melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan oleh Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan di bot pancing berkenaan mendapati ada beberapa peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti memancing.

“Terdapat fius yang disyaki digunakan bagi tujuan aktiviti mengebom ikan dan sebanyak 150 kilogram pelbagai jenis ikan turut dirampas.

“Forensik terhadap beberapa ikan mendapati bahagian dalam perut ikan hancur kesan daripada aktiviti mengebom,” katanya.

Rosli berkata, bot dan peralatan mengebom serta ikan dirampas serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap
ikan menggunakan bahan letupan,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menasihatkan supaya komuniti maritim tidak melakukan aktiviti mengebom ikan
kerana aktiviti ini amat bahaya kepada manusia dan hidupan laut.

“Selain itu, boleh membawa kecederaan parah dan seterusnya kematian akibat aktiviti ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|