Saya terbuka dalam pengurusan negeri – Hajiji

Saya terbuka dalam pengurusan negeri – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengambil pendekatan terbuka dengan mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) demi manfaat negeri dan rakyat Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau sedia mendengar cadangan dan sentiasa terbuka dalam hal pengurusan negeri.

Hajiji ketika pertemuan dengan Johan dan ahli SABAR di Menara Kinabalu.

“Sebagai Ketua Menteri, saya sedia mendengar cadangan. Saya terbuka dalam perkara berkaitan dengan pengurusan negeri.

“Apa yang penting kita laksanakan tanggungjawab kita seperti diamanahkan oleh rakyat,” katanya pada pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Amanah Sabah Action Body Advocating Right (SABAR), Datuk Dr Johan Ariffin Abdul Samad di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata NGO bebas menyuarakan pandangan mereka dalam perkara yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Beliau turut berterima kasih kepada SABAR yang menawarkan bantuan kepadanya dan kerajaan negeri dalam perkara berkaitan alam sekitar, pelancongan, kesihatan serta isu membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hajiji berkata, kerajaan negeri sudah membuka laluan dalam hal berkaitan MA63, antaranya kelulusan usul Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021, hak minyak dan gas, kuasa pelesenan perikanan dan beberapa perkara lain.

“Dalam konteks MA63, kita sudah membuat perkembangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, dalam taklimatnya, Johan berkata SABAR yang ditubuhkan pada April 2021 dianggotai 100 ahli termasuk bekas penjawat awam kanan.

Katanya, SABAR ialah kumpulan warga negara bukan politik yang prihatin terhadap hak Sabah dan perkara berkaitan MA63 serta mahu menyumbang idea dan sumber kepada kerajaan negeri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|