Tiada unsur jenayah

Tiada unsur jenayah

Tuaran: Penemuan mayat warga emas di dalam sebuah kenderaan di Kampung Lakang, di sini, selepas hilang sejak Sabtu lalu, tidak membabitkan sebarang kejadian jenayah.

Siasatan dijalankan polis mendapati mangsa yang berusia 62 tahun terbabit merupakan pesakit demensia ataupun hilang ingatan.

Pasukan polis menjalankan siasatan sebelum mengambil mayat warga emas untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, polis menerima laporan penemuan mangsa pada jam 7.52 malam tadi.

Katanya, pemanggil yang juga pemilik kenderaan Proton Persona itu mendakwa menemui mayat seorang lelaki tanpa identiti di dalam keretanya.

Mangsa berusia 61 tahun dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Jumaat lalu sebelum ditemui malam tadi.

“Hasil siasatan lanjut dan pengecaman yang dibuat isteri mangsa mengesahkan mayat berkenaan adalah individu yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tambalugu, di sini.

“Mangsa adalah seorang warga emas yang menghidap penyakit demensia dan sering tersilap masuk ke kenderaan lain walaupun bukan kereta milik keluarganya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hamizi berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau unsur-unsur jenayah yang ditemui berhampiran mayat mangsa.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pihak polis di talian 088791933, 088791966 atau 088791977,” katanya.

Sementara itu, Hamizi menasihatkan kepada masyarakat supaya sentiasa peka dengan keberadaan ahli keluarga serta keadaan sekeliling bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, orang ramai juga diminta untuk tampil menyalurkan maklumat mengenai sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis terutamanya yang berlaku di daerah Tuaran supaya tindakan dapat diambil dengan segera.

“IPD Tuaran akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan tindakan sewajarnya ke atas sebarang kejadian jenayah yang berlaku di sekitar daerah Tuaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|