Generasi muda perlu tahu PBS sudah lama perjuang MA63: Jahid

Generasi muda perlu tahu PBS sudah lama perjuang MA63: Jahid

Tamparuli: Generasi muda kini harus diberi pengetahuan bahawa isu tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah lama diusahakan Parti Bersatu Sabah (PBS), kata Timbalan Presidennya, Datuk Jahid Jahim.

Beliau yang juga Ketua PBS Bahagian Tamparuli berkata, anak muda perlu tahu bahawa perjuangan bagi menuntut MA63 bukan perkara baharu malah ia sentiasa dibangkitkan setiap kali Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS.

“Sebenarnya, ini merupakan perjuangan utama PBS sejak ditubuhkan 36 tahun lalu yang sering kita suarakan tuntutannya ketika AGM PBS setiap tahun.

“Malah pemimpin tertinggi negara sendiri mengakui bahawa isu ini sering dibangkitkan menjelang Hari Malaysia,” katanya pada AGM PBS Cawangan Kampung Bantayan, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua PBS Cawangan Kampung Bantayan yang juga Setiausaha Bahagian, Jilias Lintar; Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian, Boe Sindolun dan Penyelaras AGM yang juga Naib Ketua Bahagian, Gustin Gagah.

Sehubungan itu, Jahid berkata pemuda menjadi sandaran parti dalam usaha melestarikan dan memantapkan lagi perjuangan PBS dalam menuntut hak MA63.

“Kehadiran ramai belia hari ini juga jelas menunjukkan sokongan golongan muda kepada PBS semakin meningkat.

“Hari ini saya melihat aura sokongan belia di Bantayan dan terima kasih atas kepercayaan yang diberi,” katanya.

Tambah beliau lagi, sebagai salah satu komponen parti yang membentuk kerajaan hari ini, PBS harus kuat dan terus konsisten dengan apa yang dilaksanakan.

“Kita berada di dalam satu parti yang sejak dahulu sentiasa konsisten dalam menuntut perkara-perkara yang menjadi hak kita.

“Sekiranya ada tanda-tanda kita termasuk mereka yang telah dipilih oleh pihak kepimpinan parti itu ‘lalai’ atau dilihat kurang prihatin kepada rakyat, jangan lupa untuk menegur mereka,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|