Ranau: ‘Salji’ turun di Gunung Kinabalu, itu perkataan pertama yang keluar daripada pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, sebaik melihat salji ketika berada di Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu, di sini, hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.18 pagi tadi dan fenomena itu sempat dirakam oleh Hajiri ketika sedang menunggu pendaki turun dari puncak gunung.
Menurut Hajiri, dia percaya ‘salji’ itu turut berada di puncak dan menyebabkan pendaki lain mengambil masa untuk menikmati fenomena berkenaan.
Katanya, kejadian itu berlaku secara spontan tetapi dalam tempoh masa yang pendek antara dua hingga tiga minit.
“Ketika itu saya sedang menunggu pendaki yang berada di puncak dan tiba-tiba ada ‘salji’ turun tetapi sekejap saja antara dua hingga tiga minit.
“Ketika kejadian, saya berada di Sayat-Sayat Check Point dan saya percaya ia sehingga di puncak,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, strukturnya memang seperti salji dan bukannya ketulan ais yang biasa mereka lihat ketika di puncak Gunung Kinabalu.
“Ia memang salji seperti kepingan ringan, kalau ketulan ais ia berat,” katanya.
Katanya lagi sejak 11 tahun menjadi pelatih Via Ferrata, itu bukan pertama kali ia berlaku dan dia pernah saksikan fenomena yang sama pada 2018.
Sementara itu, Penolong Pengarah Taman Kinabalu, Justinus Guntabid memaklumkan fenomena ‘salji’ turun di Gunung Kinabalu pernah direkodkan pada 1975 dan 1993.
“Purata suhu di Panalaban pada jam 2 hingga 10 pagi tadi kira-kira 6.9 hingga 12.3 darjah celsius.
“Kiranya hari ini lebih sejuk daripada biasa tetapi kalau di atas mungkin lebih sejuk lagi dan mereka yang melihat ‘salji’ hari ini dianggap bertuah,” katanya.
-Deasoka