NAFAS meterai MoU bernilai RM100 juta di Dubai

NAFAS meterai MoU bernilai RM100 juta di Dubai

Kota Kinabalu: Pertubuhan Peladang Kebangsaan NAFAS, baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta bersama ARJ Holding LLC, sebuah syarikat terbesar berpengkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

MoU itu bagi mengadakan usahasama dalam perniagaan ternakan ruminan, perdagangan minyak masak dan pembuatan selulos daripada bahan biomass.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan NAFAS, Mohd Bahrin Abd Karim (kiri) bersama Pengerusi ARJ Holding, Ahmad Sahab Ramadhan Juma.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Dubai pada Sabtu lalu itu disempurnakan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Sylvester Entri Muran, manakala ARJ Holding pula oleh Pengerusinya, Ahmad Sahab Ramadhan Juma.

Turut menyaksikan MoU itu ialah Ahli Jemaah Pengarah NAFAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan NAFAS, Mohammad Bahrin Abd Karim.

Hadir sama Kaunselor Pejabat Perwakilan Pertanian (Dubai UAE), Mohd Zahirul Naqi Shoaib; Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan, Baharozaman Mohid dan Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi, Mohammad Fauzie Tamin.

Mengulas mengenai MoU berkenaan, Entri berkata ia antara lain untuk menjalinkan hubungan perniagaan bagi memacu pertanian lestari antara dua negara dan titik permulaan ‘peluang perniagaan’ secara besar-besaran melalui teknologi terkini.

“NAFAS percaya kerjasama sebegini akan digunakan untuk faedah bersama ARJ Holding dan menyumbang kepada penambahbaikan aktiviti yang dipersetujui,” katanya.

Entri berkata, NAFAS dan ARJ Holding akan menyediakan perincian dalam mengenal pasti tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan perjanjian yang terdiri daripada perbincangan, perancangan strategi dan pelaksanaan aktiviti pelaburan selepas pemeteraian MoU berkenaan.

Katanya, kedua-dua syarikat akan berusaha untuk membantu dan menyokong satu sama lain untuk skop kerjasama MoU yang akan memberi manfaat bersama Malaysia dan UAE.

“NAFAS akan berusaha dan mengambil langkah bagi menggalakkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti pelaburan yang menguntungkan dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua pihak mengikut kesesuaian semasa,” katanya .

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan bersempena Minggu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai.

Ia adalah satu inisiatif penting yang akan memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari.

Pelbagai program menarik dianjurkan NAFAS pada minggu berkenaan antaranya sesi pocket talk, business matching, sesi pengenalan produk peladang dan demo masakan oleh Chef Rene.

NAFAS berada di Dubai sempena Ekspo 2020 Dubai dari 20 Februari hingga 26 Februari lalu di Pavilion Malaysia yang dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|