Salji boleh terbentuk di Gunung Kinabalu – MetMalaysia

Salji boleh terbentuk di Gunung Kinabalu – MetMalaysia

Kota Kinabalu: Salji boleh terbentuk apabila suhu mencecah sifar atau negatif darjah celcius dengan syarat mempunyai kelembapan yang mencukupi di sesuatu lokasi termasuk di Gunung Kinabalu.

Perkara itu dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah ketika mengulas fenomena salji yang dilapor berlaku di Gunung Kinabalu, hari ini.

Beliau mengesahkan fenomena cuaca yang berlaku di Gunung Kinabalu itu sebagai salji berdasarkan ketinggian lokasi dan suhu rendah di kawasan berkenaan.

“Ia bukanlah satu perkara yang mustahil berlaku bagi tanah tinggi seperti di Gunung Kinabalu disebabkan apabila suhu udara mencecah sifar darjah celcius atau di bawah daripada suhu tersebut salji boleh terbentuk dengan syarat adanya kelembapan yang mencukupi.

“Jadi biasanya apa yg berlaku ialah kita boleh lihat ‘frost’ iaitu ketulan ais yang berada di permukaan bumi, biasanya di batuan yang sejuk,” katanya dalam mengulas fenomena salji di Gunung Kinabalu pada awal pagi tadi.

Beliau berkata, salji boleh berlaku dalam keadaan tertentu apabila suhu sejuk di bawah takat beku dan adanya kelembapan yang mencukupi.

“Dalam keadaan cuaca ini atau biasanya keadaan anginnya adalah agak perlahan atau tidak berangin. Jadi itu boleh menyumbangkan kepada pembentukan salji tersebut.

“Ini suatu fenomena yang jarang kita lihat tetapi boleh berlaku,” katanya.

Sebelum itu, tular video berdurasi satu minit memaparkan pendaki di Gunung Kinabalu yang teruja melihat ketulan putih jatuh dari langit dipercayai salji.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|