Tetak leher isteri hingga mati akibat cemburu

Tetak leher isteri hingga mati akibat cemburu

Kota Kinabalu: Angkara cemburu, seorang lelaki sanggup menetak leher isterinya sehingga mati di bilik sewa pasangan terbabit di tingkat 3, Jalan Segama, di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui berlumuran darah terbaring di atas tilam oleh polis selepas suaminya sendiri menghubungi talian kecemasan 999 sebelum memaklumkan menetak isterinya dengan pisau, jam 11.47 malam.

Mayat mangsa diangkat oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 malam selepas suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya.

Katanya, suspek yang berang kemudian menuju ke dapur lalu mengambil pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.

Mohd Zaidi bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD kota Kinabalu, Deputi Superintendan Rosdi Mat Jusoh memeriksa lokasi kejadian di bilik sewa tingkat 3, Jalan Segama, Kota Kinabalu.

“Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka diperut.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Lokasi kejadian di bilik sewa tingkat 3, Jalan Segama, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, susulan itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bertindak menahan suspek yang masih berada di lokasi kejadian.

“Motif kejadian dipercayai cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.

“Suspek sendiri yang menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan telah menetak isterinya dengan pisau sehingga mati dan hendak menyerah diri,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian merampas sebilah pisau dan parang pemotong daging dan salah satunya dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Suspek akan direman untuk tindakan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.

Tambah Mohd Zaidi lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|