DUN Sabah: Tiada guna pegang jawatan kalau tidak boleh selesai masalah rakyat – Bung Moktar

DUN Sabah: Tiada guna pegang jawatan kalau tidak boleh selesai masalah rakyat – Bung Moktar

Kota Kinabalu: “Tiada guna kita pegang jawatan kalau tidak boleh selesai masalah rakyat,” tegas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menjawab soalan tambahan mengenai masalah air yang berlaku di Sandakan pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Menteri Kerja Raya negeri itu berkata, beliau sebolehnya mahu setiap masalah gangguan bekalan air bukan saja di Sandakan, malah di seluruh negeri diselesaikan dengan segera.

Katanya, beliau sedar sebagai wakil rakyat tugas utamanya ialah untuk memudahkan urusan rakyat dengan memastikan masalah dihadapi mereka seperti gangguan bekalan air diselesaikan dengan segera.

“Saya akan minta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) selesaikan masalah ini dalam kadar segera sebab tugas kita memudahkan rakyat, jangan tangguh lagi, kalau dapat mesti selesai hari ini.

“Tiada guna kita pegang jawatan kalau tidak boleh selesai masalah rakyat,” katanya menjawab soalan tambahan Calvin Chong Ket Kiun (Bebas – Elopura) mengenai gangguan bekalan air di Jalan Aman, Sandakan yang berlarutan kira-kira tiga minggu.

Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata gangguan bekalan air berlaku di seluruh negeri terutama di kawasan Sandakan, Sepanggar, Lahad Datu, Beaufort dan Tawau.

Katanya, JANS juga sudah diarah untuk meningkatkan usaha menangani masalah itu termasuk mengadakan bengkel untuk menambah baik perkhidmatan.

“Saya juga sudah membentangkan halatuju bekalan air Sabah kepada Kabinet negeri dan saya akan bentang lagi nanti dalam penggulungan saya,” katanya.

Dalam satu lagi soalan tambahan oleh George Hiew (WARISAN – Karamunting), mengenai alat ganti pam di Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud, Sandakan, Bung Moktar berkata perkara itu memang diberi perhatian dan JANS sudah diarah memastikan setiap LRA dibekalkan alat ganti dan pam tunggu sedia.

“Kementerian sudah putuskan supaya JANS menyediakan ‘spare part’ di setiap loji. Cuma ‘spare part’ ini bukan murah harganya, ratus ribu ringgit dan lagi seperti kita maklum prosedur ini bukan mudah,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Datuk Frankie Poon Ming Fung (DAP – Tanjung Papat) mengenai punca kekerapan gangguan bekalan air di Sandakan, Bung Moktar berkata ketika ini hanya satu daripada empat pam di LRA yang membekal air ke daerah itu yang berfungsi sepenuhnya.

Tiga pam lagi katanya sedang dinaik taraf bermula pertengahan tahun lalu hingga akhir tahun ini dengan dua daripadanya sudah siap dipasang.

Selain itu, katanya gangguan bekalan air yang sering berlaku di sesetengah kawasan bandar Sandakan turut disebabkan masalah set janakuasa di tangki pra pemendapan LRA Kinabatangan yang mana tangki pra pemendapan masih lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber tenaga sistem janakuasa.

“Oleh itu bagi memastikan tangki pra pemendapan Kinabatangani beroperasi tanpa gangguan, JANS akan menaik taraf sumber tenaga di tangki pra pemendapan dengan menggunakan tenaga elektrik SESB.

“Status projek menaik taraf bekalan elektrik ini adalah di peringkat perolehan tender dan dijangka akan mula kerja fizikal pada suku keempat tahun ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|