DUN Sabah: Kenaikan kos input punca harga ayam dan telur naik

DUN Sabah: Kenaikan kos input punca harga ayam dan telur naik

Kota Kinabalu: Kenaikan kos input kepada penternak ayam terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus kos pengeluaran, logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan punca kenaikan harga ayam dan telur ayam di Sabah ketika ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kementeriannya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum mengenai kenaikan harga ayam dan telur ayam.

“Kerajaan mengambil beberapa pendekatan termasuk pemakluman melalui surat pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 digunakan sebagai ‘soft-approach’ dalam tindakan pemantauan maklumat di bawah AKHAP
2011 ini.

“Peniaga ayam dan telur di peringkat borong dan runcit telah bersetuju mengurangkan margin keuntungan sejak 11 September 2021 dan sebanyak 82 premis telah memberikan komitmen penurunan margin keuntungan dan ini sangat membantu pengguna dalam mendapat harga runcit yang munasabah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Shahelmey menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (Bebas – Sri Tanjong) berhubung mekanisme yang diambil untuk menangani kenaikan harga ayam dan telur yang mendadak ketika ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata KPDNHEP telah membuat penetapan harga dan pengurangan harga dengan mewartakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2022 yang berkuatkuasa pada 7 Disember hingga 31 Disember 2021 dan telah dilanjutkan bermula 1 Januari hingga hingga 4 Februari 2022.

“Barangan yang terlibat adalah ayam, telur ayam dan sayur-sayuran. Bagi terus mengawal harga ayam dan telur ayam, KPDNHEP telah menetapkan Penentuan Harga Maksimun Ayam dan Telur Ayam sejak 5 Februari lalu dan akan berlanjutan sehingga 5 Jun depan.

“Selain itu, jemaah Menteri Persekutuan pada 9 Februari lalu telah bersetuju untuk memberi subsidi kepada penternak ayam sebanyak 60 sen setiap satu kilogram bagi ayam dan lima sen bagi sebiji untuk semua jenis gred telur ayam.

“KPDNHEP juga mengadakan program libat urus untuk memberi penjelasan, khidmat nasihat dan kerjasama bersama peniaga dalam memahami dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan serta melaksanakan langkah kolaborasi bersama agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah untuk memastikan bekalan mencukupi dan ditawarkan pada harga yang munasabah.

“Pendekatan penguatkuasaan turut dilakukan dengan menggunakan Mekanisme Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan sama ada kerajaan negeri bersedia untuk meningkatkan ternakan ayam pedaging dan penelur di Sabah, Shahelmey berkata, perkara itu lebih sesuai dijawab oleh Kementerian Pertanian dan Perikanan kerana ia terletak dalam bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Bagaimanapun, bagi kementerian saya melalui KPDNHEP Sabah, kita memantau tentang hal pengguna berkenaan dengan kawalan harga.

“Memang kita mengambil maklum buat masa ini bekalan telur ayam adalah sedikit kurang, lebih kurang dalam 10 peratus tetapi jabatan-jabatan yang berkaitan sedang dalam usaha untuk memastikan bahawa bekalan utama menjelang musim perayaan akan berada pada tahap yang mencukupi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|