Kerajaan negeri serah 30 bot dan enjin kepada PDRM

Kerajaan negeri serah 30 bot dan enjin kepada PDRM

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri, hari ini, menyumbang sebanyak 30 bot dan enjin bernilai RM360,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk operasi menyelamat ketika bencana banjir selain menjaga keselamatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua bot berkenaan akan diagihkan ke 10 daerah yang sering dilanda bencana banjir iaitu Beaufort, Tenom, Sipitang,Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Beluran,Kinabatangan, Penampang dan Kota Belud.

Hajiji menyampaikan replika kunci bot kepada Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

“Kita berharap sumbangan ini akan dapat membantu meringankan sedikit bebanan pasukan PDRM dalam memantau dan membantu menyelamat semasa berlaku bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bot dan enjin kepada Pesurujaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah di perkarangan Menara Kinabalu, hari ini.

Antara bot untuk operasi menyelamat bencana banjir dan keselamatan diserahkan kerajaan negeri kepada PDRM.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Ag Shahminan Datuk Ag Sahari.

Sementara itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan sumbangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada waris lapan orang anggota PDRM yang terkorban dan 12 orang lagi yang mengalami kecederaan dalam Peristiwa Tanduo, Lahad Datu.

Sumbangan bernilai RM60,000 dan RM50,000 itu adalah Tabung Khas Polis sempena Perayaan Hari Polis yang ke-215.

Sumbangan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat SESB berjumlah RM110,000 itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Mohd Yaakob Jaafar kepada Datuk Idris Abdullah.

Pada majlis sama, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyerahkan bendera negeri Sabah dan sumbangan kepada anak jati Sabah, Adelinah Lintanga dari Kota Belud yang akan membawa bendera Sabah menawan Gunung Everest menerusi program pendakian “Everest Expedition 2022, Journey To The Top by Sabahan”.

“Kita bangga dengan usaha dan semangat yang ditunjukkan oleh Adelinah dan pendaki lain untuk menawan gunung tertinggi di dunia.

“Saya yakin beliau akan berjaya mengibarkan bendera Sabah di puncak Gunung Everest. Saya mendoakan mereka berjaya dan dipermudahkan segala urusan mereka”, katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|