DUN Sabah: 700 rumah PPRT dibina di Sabah tahun ini

DUN Sabah: 700 rumah PPRT dibina di Sabah tahun ini

Kota Kinabalu: Sebanyak 700 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dibina di Sabah pada tahun ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Harun Durabi, berkata selain itu, sebanyak 2,900 rumah PPRT akan dibaik pulih.

“Maklumat daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan, pada tahun ini, Sabah mendapat pertambahan kuota bagi rumah PPRT sama ada untuk bina baharu ataupun baik pulih.

“Bagi program rumah PPRT Bina Baharu, Sabah mendapat kuota sebanyak 700 unit rumah, manakala untuk program rumah PPRT Baik Pulih, Sabah akan menerima kuota sebanyak 2,900 unit rumah.

“Untuk agihan Rumah PPRT Bina Baharu untuk tahun 2022, kementerian akan meneliti kaedah agihan berdasarkan keperluan untuk setiap DUN atau daerah termasuklah daerah Kota Belud,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Arsad Bistari (UMNO – Tempasuk) mengenai pembinaan rumah PPRT di Sabah pada tahun ini.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim ketika menjawab soalan tambahan Datuk Annuar Ayub (STAR – Liawan) mengenai kos pembinaan PPRT, berkata perkara itu masih dikaji KPLB Persekutuan.

“Tidak dinafikan harga bahan binaan naik dan kita angkat perkara ini kepada KPLB Pusat untuk mengkaji harga itu. Difahamkan harga itu sedang diputuskan Kabinet dan kita akan maklumkan kepada wakil rakyat perkembangan seterusnya apabila diketahui nilainya,” katanya.

Dalam satu lagi soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai perkembangan PPRT di Kampung Bangau-Bangau, Semporna, Jahid berkata perkembangan terkini projek itu akan dimaklumkan selepas mendapat maklumat terkini daripada pejabat daerah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|