Tertekan pedal minyak, punca rempuh kaunter dan pelanggan stesen minyak

Tawau: Tertekan pedal minyak yang disangka brek, itu punca sebuah kereta merempuh kaunter selain turut menyebabkan seorang pelanggan di sebuah stesen minyak di Jalan Sin On, di sini, cedera, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, kereta Proton Exora yang dipandu wanita berusia 54 tahun itu dikatakan bergerak dari Kampung Ranggu untuk menuju ke Kampung Muhibbah BAL sebelum singgah ke stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan mendapati pemandu kenderaan berkenaan menghidupkan enjin kereta sebelum menekan pedal minyak yang disangka pedal brek.

Katanya, akibat kejadian itu, kereta berkenaan terus meluncur laju dan merempuh dinding kaunter stesen minyak selain terlanggar seorang wanita berusia 52 tahun yang kebetulan berada di kaunter pembayaran.

“Akibat kejadian itu, dinding kaunter pembayaran stesen berkenaan rosak dan mengalami keretakan manakala wanita terbabit pula cedera di kaki kanan.

“Pemandu Proton Exora tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun siasatan lanjut mendapati pemandu bukan warganegara terbabit tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Justeru itu, polis ingin menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan polis.

“Masyarakat juga dinasihati untuk tidak sesekali menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum,” ujarnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|