Semakan undang-undang SLS inisiatif positif – Hajiji

Semakan undang-undang SLS inisiatif positif – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri berpandangan tindakan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) memfailkan semakan kehakiman berhubung isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah sebagai satu inisiatif yang positif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tindakan SLS itu tidak berpihak dan tidak berpolitik dalam kepentingan bersama mengikut perlembagaan ketika Sabah terbabit dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

Katanya, pada masa yang sama kerajaan negeri juga akan terus menuntut hak 40 peratus yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu dan lain-lain hak serta kepentingan Sabah.

“Kerajaan negeri mengambil maklum permohonan SLS untuk semakan kehakiman berhubung isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Sabah juga sudah dan akan terus serta bersungguh-sungguh menuntut hak 40 peratus itu dan lain-lain hak dan kepentingan Sabah daripada kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada April lalu, kerajaan negeri mengalu-alukan kenaikan empat kali ganda Geran Khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta mulai tahun ini.

Peningkatan itu dilihat sebagai langkah yang baik untuk pembangunan Sabah, namun pada masa sama, kerajaan negeri menegaskan akan terus menuntut 40 peratus hasil Sabah seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|