Tarik syarikat penerbangan Singapura ke Sandakan, Tawau

Kota Kinabalu: Usaha merancakkan semula industri pelancongan di negeri ini diteruskan dengan menarik penyertaan syarikat penerbangan Singapura meluaskan penerbangan mereka ke Lapangan Terbang Sandakan dan Tawau.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penerbangan terus ke dua daerah itu bakal merancakkan lagi sektor pelancongan Sabah khususnya destinasi pelancongan di kawasan pantai timur.

Jafry ketika pertemuan dengan Sim Ann di Bangunan Kementerian Luar Negara, Singapura.

“Laluan penerbangan ini akan memudahkan pelancong luar untuk datang ke destinasi pelancongan yang menarik seperti Pulau Sipadan, Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Menteri dari Singapura, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara) Sim Ann, di Bangunan Kementerian Luar Negeri, Singapura.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Yusrie Abdullah dan Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Noredah Othman.

Tambah Jafry lagi, kementerian akan mengemukakan cadangan kepada syarikat penerbangan untuk menambah laluan baharu itu dalam tempoh terdekat.

“Inisiatif ini diyakini dapat membantu meningkatkan kemasukan pelancong bukan sahaja dari Singapura malah negara-negara luar yang lain berikutan Lapangan Terbang Changi adalah salah sebuah pusat penerbangan yang utama di Asia.

“Kementerian menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) juga kini sedang giat menjalankan ‘business to business’ (B2B) dan ‘business to customer’ (B2C) dalam meningkatkan usaha promosi pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa datang ke Sabah,” katanya.

Tambah Jafry lagi, dengan adanya perkhidmatan penerbangan terus, beliau yakin dengan prospek pelancongan yang besar dan permintaan yang tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|