Tangkapan seorang lelaki, selesaikan satu kes curi dan tiga kes samun

Tangkapan seorang lelaki, selesaikan satu kes curi dan tiga kes samun

Kota Kinabalu: 24 jam, itu tempoh masa diambil untuk menangkap seorang penjenayah yang mencuri beg sandang milik seorang doktor di sebuah restoran di Aeropod, Tanjung Aru, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa berusia 33 tahun yang menyedari kejadian itu dilaporkan sempat melihat suspek menaiki sebuah kereta Perodua Viva sebelum membuat laporan polis.

Mohd Zaidi (kanan) bersama Rosdi menunjukkan barang yang dirampas susulan tangkapan suspek kes samun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima laporan daripada mangsa wanita, siasatan dan Op Kesan telah dilancarkan untuk mengesan suspek.

Katanya, pihak polis berjaya mengesan kenderaan digunakan yang kemudiannya membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 33 tahun.

Antara barangan yang dirampas semula oleh pasukan polis.

“Hasil tangkapan berkenaan, Polis turut berjaya merampas semula beberapa barangan milik mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian sehari sebelum itu.

“Menerusi soal siasat yang dijalankan, suspek turut mengaku terbabit dalam tiga lagi kes samun bersenjata yang berlaku di sekitar ibu negeri ini.

“Ia membabitkan kejadian di tiga kedai serbaneka 24 jam iaitu di Jalan Segama dan Kompleks Api-Api serta Aeropod, Tanjung Aru. Semua jenayah samun itu dilakukan suspek seorang diri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah IPD) kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Bahagian siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan, Rosdi Mat Jusoh.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti sama ada suspek terbabit dalam kes lain yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methaphetamine.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, juga Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|