Banteras kegiatan penyeludupan ayam di Sabah

Banteras kegiatan penyeludupan ayam di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah akan melancarkan aktiviti pembanteras penyeludupan ayam secara besar-besaran menerusi beberapa kaedah secepat mungkin.

Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan I Datuk James Ratib berkata, tindakan itu perlu segera dijalankan berikutan aktiviti penyeludupan haiwan berkenaan dikesan semakin berleluasa.

James ketika membuat lawatan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kota Kinabalu, semalam.

Katanya, ia dibimbangi akan menimbulkan masalah bekalan ayam yang besar terutama kepada rakyat di negeri ini.

“Dalam lawatan saya ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar, di sini, mendapati cara bagi mengawal penyeludupan ayam sangat longgar.

“Oleh itu, saya akan mengambil beberapa ketetapan yang diharapkan akan mampu membenteras penyeludupan ayam secara besar-besaran di Sabah,” katanya selepas membuat lawatan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kota Kinabalu, semalam.

James berkata, antara langkah awal adalah menempatkan pegawai penguatkuasa mencukupi di kit-kit pelabuhan, di sini, bagi melakukan pemeriksaan yang lebih rapi.

Katanya, ia bagi memastikan setiap kemasukan kontena di Pelabuhan Sepanggar bebas daripada aktiviti penyeludupan ayam selain memastikan kemasukan ayam berjalan dengan telus serta mematuhi peraturan ditetapkan.

“Saya juga akan menyediakan beberapa kenderaan untuk mengekori kontena yang dipercayai membawa muatan secara deklarasi palsu sehingga sampai ke destinasi,” katanya.

James berkata, isu halal juga akan turut diketengahkan kerana sekiranya berlaku penyeludupan, status halal bagi bekalan ayam diragui dan dibimbangi mudarat pengguna.

Katanya, kegiatan penyeludupan di Sabah boleh menimbulkan dua isu yang sangat besar iaitu melibatkan isu Halal dan juga ketirisan.

“Ketirisan yang kita maksudkan ialah kegiatan yang salah di sisi undang-undang sehingga mengakibatkan kerugian besar dari segi hasil pungutan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

“Isu halal pula menimbulkan kerisauan berhubung status ayam berkenaan samada halal atau sebaliknya untuk dijual di pasaran terutama kepada pengguna beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, isu penyeludupan ayam ini sudah berleluasa sejak dahulu dan sekiranya tidak dibenteras kegiatan ini akan berlarutan.

“Amaran keras diberikan kepada semua penyeludup supaya menghentikan kegiatan secara serta merta sebelum dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|